Wednesday, October 28, 2009

Sudah menjadi kebiasaan bagi muda mudi, semenjak beberapa kurun yang lalu, memakai gelang tangan dan gelang kaki sebagai perhiasan diri. Pada mulanya suku kaum Orang Asli menggunakan akar-akar kayu yang dililitkan di pergelangan tangan mereka sebagai gelang. Dalam mengejar kemajuan tamadun moden mereka telah menggunakan pula serpihan batu yang ditebuk di tengahnya sebagai gelang. Begitu juga dengan mereka yang berketurunan Cina yang menggunakan batu sebagai gelang tangan.
Gelang tangan telah menjadi keistimewaan masyarakat Melayu khususnya kaum wanita semenjak beberapa kurun yang lalu. Besar kemungkinan kemasyhuran ini bermula sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Ini dapat dipercayai berdasarkan hubungan perdagangan dan perniagaan yang dijalankan oleh orang India atau lebih dikenali dengan panggilan "Keling Pelekat" yang sering masuk ke kampung-kampung untuk berniaga. Antara bahan yang paling diminati oleh masyarakat desa pada waktu itu ialah gelang tangan.
Pada mulanya gelang-gelang dibentuk dengan menggunakan dawai-dawai kasar yang dipintal bulat dan dicelup atau disadur emas. Namun yang demikian terdapat juga gelang-gelang yang diperbuat daripada plastik yang tidak kurang cantiknya. Muda mudi, tanpa mengira had urnur dan keturunan, sangat gemar memakai gelang tangan yang tanpanya akan dianggap kurang lengkap. Bagi mereka yang berada atau yang kaya, gelang-gelang mereka ditempah khas, biasanya diperbuat daripada emas atau perak dan ada juga yang menggunakan duit-duit emas yang disambung dan dibentuk mengikut pergelangan tangan masing-masing.
Gelang tangan mempunyai berbagai-bagai nama, misalnya gelang belah rotan, gelang ular, gelang pintal (tali), rantai tangan, cekak tangan dan sebagainya. Gelang tangan biasanya dibuat oleh tukang-tukang emas Cina dan India. Mereka sentiasa menggunakan kebijaksanaan mencipta dan merekabentuk gelang-gelang yang paling sesuai untuk dipakai di pergelangan tangan.
Seperti gelang tangan pembentukan gelang kaki hampir serupa, biasanya dibuat sepasang. Gelang kaki biasanya dipakai oleh wanita Melayu, India dan Nyonya. Di Melaka, pengantin perempuan yang berpakaian tradisional berasa tidak lengkap sekiranya tidak memakai gelang kaki apabila menaiki pelamin.
Sekarang gelang kaki dibuat hanya dengan seutas rantai yang berloceng dan dipakai di sebelah kaki sahaja tanpa mengira tempat atau cara tertentu. Gelang kaki tidaklah begitu popular seperti gelang tangan yang rekabentuknya diubahsuai dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman, sesuai dengan kehendak dan citarasa muda-mudi.
Sumber dipetik dari http://malaysiana.pnm.my , http://melayuonline.com , buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk "Barang Kemas Melayu Tradisi" oleh Mohd Kassim Haji Ali.